JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila menjadi penyambut kelahiran seorang bayi yang dilahirkan seorang ibu muda dalam kejadian di tepi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini semalam.
Syarifah Munawwarag Sayed Muhammad, 36, berkata, ketika kejadian pada pukul 2 petang itu, dia bersama suami dan anak-anak dalam perjalanan untuk menghadiri majlis sambutan hari jadi anak rakannya.
“Saya dari Kota Masai dan sampai di persimpangan lampu isyarat, saya nampak ada kakak dan suaminya berbangsa India menahan kenderaan kami, masa itu saya tak tahu apa dan bila buka tingkap kereta, dia maklumkan ada orang nak beranak.
“Saya terus turun kereta dan bantu, saya terketar-ketar sebab tak pernah urus kelahiran bayi, ini kali pertama berlaku dalam hidup saya, saya buat ‘video call’ kawan yang kerja ‘nurse’ dan kakak India tu ‘call’ kawan dia tanya macam mana ‘handle’ sambut bayi.
“Masa saya turun, kepala bayi dah keluar, saya pegang, bantu keluarkan dan sambut bayi lelaki, alhamdulillah semuanya berjalan lancar, kami guna tali kasut seorang penghantar makanan ikat tali pusat bayi tersebut, nak potong ke apa kami tak tahu nak buat macam mana,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Syarifah Munawwarah berkata, semasa kejadian, ibu muda dalam lingkungan usia 20-an dan suaminya menaiki motosikal untuk ke klinik berdekatan.
Katanya, menurut cerita pasangan itu, sampai di persimpangan lampu isyarat itu, si ibu tidak tahan untuk melahirkan anak dan turun dari motosikal sebelum terbaring di tepi jalan berkenaan.
“Kami bantu mana yang boleh kami buat, saya pangku bayi itu selama 30 minit sebelum pasukan perubatan tiba di lokasi kejadian,”katanya.
Wanita itu turut melahirkan rasa syukut kerana dapat membantu menyambut bayi dan ibu muda itu selamat sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).-KOSMO! ONLINE