fbpx
Zara Qairina

Siasat kes Zara Qairina tanpa rasa takut, pilih kasih – Musa Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Menurut kenyataan rasmi Istana Seri Kinabalu hari ini, siasatan kini sedang dijalankan menunggu keputusan hasil bedah siasat yang telah dijalankan, semalam.

“Siasatan ini mestilah dilaksanakan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kebenaran dan keadilan. Setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya.

“Menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan. Sebaliknya ianya adalah suatu perintah Allah SWT untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai khususnya pengguna media sosial diseru agar tidak membuat spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi yang boleh menjejaskan integriti siasatan serta menambah kesedihan keluarga mangsa.

Katanya, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini.

Sementara itu, Musa dan isteri turut merakamkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina serta mendoakan agar mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan berat ini.

Dalam pada itu, Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri untuk Allahyarham Zara Qairina akan diadakan pada Khamis ini selepas solat maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang dilaksanakan secara serentak di semua masjid dan surau di seluruh Sabah.

Justeru, beliau turut menggalakkan umat Islam untuk hadir ke majlis berkenaan, manakala mereka yang bukan beragama Islam disaran berdoa mengikut kepercayaan masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI