fbpx
Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga yang memenangi Cabaran Joran Selangor 2025 sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 di Kolam 1 dan 2, Bukit Ekspo, UPM Serdang Ahad lalu.

Rezeki patin 8.055kg, bawa pulang RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hanya berumpankan roti pandan, seorang pemancing Haron Harrani bin Abdullah, 31, berjaya menaikkan seekor patin seberat 8.055 kilogram dalam Cabaran Joran Selangor 2025 sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 di Kolam 1 dan 2, Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini Ahad lalu.

Dia yang datang dari Dengkil, Selangor membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan yang disertai lebih 500 kaki pancing termasuk peserta dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Perak, selain wakil dari negara China yang pertama kali turun berentap di kolam ikonik UPM.

Haron yang bekerja sendiri dan sudah 15 tahun aktif dalam pertandingan memancing menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil pengalaman panjang serta sokongan rakan-rakan.

“Saya gembira dan bersyukur. Selain hadiah, saya hargai persahabatan dan perkongsian ilmu di tepi kolam seperti ini,” katanya.

Antara peserta pada Cabaran Joran Selangor 2025 sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 di Kolam 1 dan 2, Bukit Ekspo, UPM Serdang Ahad lalu.

Tempat kedua dimenangi oleh Azrull Fitri Sharifuddin, 51, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan tangkapan patin seberat 6.320 kilogram dan meraih RM3,000, manakala tempat ketiga oleh Mohd Fairuz bin Bilal, 41, dari Sungai Merab, Selangor.

Pertandingan anjuran bersama Lestari Events dan UPM Holdings dengan kerjasama Tourism Malaysia.

Pengurus Besar, UPM Business Management Sdn. Bhd, Shahril Dasti berkata, sambutan menggalakkan daripada kalangan kaki pancing membuktikan potensi besar kolam pancing UPM untuk dijadikan pusat rekreasi setempat.

Katanya, lokasi ini bukan sahaja sesuai untuk pertandingan memancing, malah mampu menarik keluarga dan pelancong untuk beriadah.

Selain memancing, Bukit Ekspo UPM menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi seperti golf, paintball, abseiling dan aktiviti santai lain yang sesuai untuk semua peringkat umur. Keindahan landskap kampus yang menghijau menambah pengalaman rekreasi yang segar dan menyeronokkan.

Acara ini juga selari dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, menjadikan UPM destinasi unik yang menggabungkan sukan, rekreasi dan pelancongan dalam satu lokasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI