BAGHDAD – Lebih 600 orang di Iraq dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas selepas mereka terhidu gas klorin yang berpunca daripada kebocoran di sebuah stesen rawatan air, kata pihak berkuasa semalam.
Kejadian berlaku pada waktu malam di laluan antara dua bandar suci Syiah, iaitu Najaf dan Karbala yang masing-masing terletak di tengah dan selatan Iraq.
Tahun ini, berjuta-juta pengikut Syiah dijangka menuju ke Karbala yang menempatkan makam Imam Hussein yang dihormati dan saudaranya, Abbas.
Di sana, mereka akan memperingati Arbaeen yang merupakan tempoh berkabung selama 40 hari di mana pengikut Syiah mengenang kematian Hussein, cucunda Nabi Muhammad SAW.
Dalam kenyataan ringkas, Kementerian Kesihatan Iraq berkata: “(Sebanyak) 621 kes sesak nafas telah direkodkan akibat kebocoran gas klorin di Karbala.”
“Kesemua mereka telah menerima rawatan yang diperlukan dan keluar dari hospital dalam keadaan sihat,” tambah kenyataan itu.
Pasukan keselamatan yang ditugaskan melindungi jemaah pula berkata, kejadian itu berpunca daripada kebocoran klorin dari sebuah stesen rawatan air di jalan Karbala-Najaf.
Sebahagian besar infrastruktur Iraq berada dalam keadaan uzur akibat konflik dan rasuah dengan pematuhan terhadap piawaian keselamatan sering longgar.
Pada Julai lalu, kebakaran besar di sebuah pusat beli-belah di bandar Kut, timur Iraq telah meragut lebih 60 nyawa, kebanyakan mangsa lemas di dalam tandas, demikian menurut pihak berkuasa. – AFP