SEJAK memulakan siri karya Pertarungan pada tahun 1980-an, kesinambungan lukisan hasil seniman seni kreatif itu masih diteruskan sehingga ke hari ini.
Dihasilkan dalam pelbagai jenis medium, setiap karyanya masih membawa maksud mendalam tentang tema utamanya iaitu pertarungan diri.
Ia melibatkan pertembungan antara naluri minda dan hati sebagai simbolik mempertahankan bangsa, agama serta budaya Melayu dalam era moden.
Menurut pelukis tempatan, Amron Omar, siri Pertarungan masih berterusan dalam projek seninya kerana ia selari dengan simbolik pertarungan diri yang tidak akan pernah habis sehingga ke akhir hayat.
“Kelangsungan siri Pertarungan juga melambangkan perkembangan saya dalam seni kreatif, dengan setiap karya membawa maksud mendalam serta peningkatan kemahiran saya dalam lukisan.
“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran, melainkan hanya ingin terus berkarya serta mengembangkan lagi siri yang melambangkan disiplin, ketahanan dan identiti Melayu-Muslim melalui bahasa figura silat sebagai media ekspresif artistik,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Desa Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

di atas medium tisu. – AFIQ RAZALI
Tambahnya, bagi kesinambungan karya Pertarungan, dia masih mengembangkan siri itu dengan cabang baharu iaitu Gelut.
Kongsinya, Gelut bakal membawa pembaharuan kepada siri Pertarungan terutama dari segi teknik lukisan dan pendekatan dalam skop pertarungan itu sendiri.
Menyingkap siri karya Pertarungan, ia adalah projek seni penting oleh Amron yang memberi fokus kepada tubuh manusia dalam gerakan silat tradisional Melayu.
Karya itu juga mencerminkan pertarungan fizikal dan batin, selain perjuangan mencari identiti diri serta mempertahankan warisan budaya dalam naratif moden.
Pemilihan warna tanah dengan pencahayaan kontras menimbulkan suasana dramatik dan intense, sekali gus menghidupkan gerakan dalam ruang kanvas yang ‘tidak dikurung’.
Wajah figura sering dikosongkan atau tidak terlalu diberi fokus untuk mengarahkan perhatian penonton kepada aksi silat dan simbolisme.
Dihasilkan sejak 1980-an, siri itu terdiri daripada lukisan cat minyak atas kanvas dan karya di atas kertas menggunakan pastel atau arang.

Karya-karya signifikan termasuk Pertarungan II pada tahun 1980, Pertarungan A Competition (1989), dan siri pastel kontemporari seperti Pertarungan Series (2016).
Sehingga kini, terdapat lebih 1,000 karya Pertarungan yang dihasilkan dalam pelbagai medium seperti kanvas, buku coretan dan kertas tisu dengan penggunaan pelbagai jenis warna seperti cat minyak atau pastel minyak.
Menerusi Gelut pula, Amron memberitahu, dia memfokuskan kepada karya berkaitan gerakan silat dengan menggunakan medium cat minyak sepenuhnya bagi mendapatkan unsur lebih realistik serta tahan lama.
“Untuk karya baharu, saya akan memberi fokus kembali kepada silat dalam gerakan tangkapan atau tempur.
“Karya ini akan berterusan kerana selari dengan maksud yang diketengahkan iaitu pertarungan.
“Hal ini kerana ia merupakan naratif hidup yang sebati dengan manusia dan akan dibawa sehingga ke akhir usia,” ujarnya.
Setakat ini, Amron telah menghasilkan tiga karya di bawah kesinambungan Gelut. Dia juga masih melakar beberapa lagi siri karya itu untuk dipersembahkan di pameran solo pada masa akan datang.
















