KUALA KUBU BHARU – Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun cedera ringan selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti mendaki di Lata Medang, di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 9.46 pagi.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu diketuai PBK II KUP Kamarudin Tahir bersama empat anggota digerakkan ke lokasi sejauh 28 kilometer.
“Setibanya di kawasan kaki bukit pada pukul 10.15 pagi, anggota memulakan pendakian sejauh 2.6 kilometer untuk mencari mangsa.
“Mangsa ditemui pada pukul 11.25 pagi oleh anggota bomba dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dalam keadaan cedera di bahagian tangan kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa yang masih mampu berjalan kemudian diiringi turun ke kaki bukit sebelum diberikan rawatan awal. – KOSMO! ONLINE