PETALING JAYA – Kosmo! meneruskan legasi kecemerlangan dalam penulisan rencana-rencana pelancongan apabila memenangi anugerah Artikel Pelancongan Terbaik pada Anugerah Industri Pelancongan 2025 dekat sini malam tadi.
Wartawan Rencana Kosmo!, Ghazali Alias dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Artikel Pelancongan Terbaik dalam majlis anugerah yang turut diadakan bersama Majlis Anugerah Pelancongan Selangor 2025 di sebuah hotel di sini.
Trofi dan sijil penghargaan disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Selangor, Datuk Johary Anuar dengan disaksikan Presiden Malaysia International Tourism Development Association (MITDA), Kapten Mahadzir Mansor.
Ghazali ketika dihubungi berkata, dia bersyukur dan terharu atas anugerah dan penghargaan yang diterima.
“Ini berkat doa ibu dan tunjuk ajar daripada editor, senior dan rakan-rakan.
“Sememangnya setiap penulisan saya bukanlah bertunjangkan anugerah tetapi perkongsian ilmu termasuk destinasi menarik yang seharusnya diterokai terutama di Selangor,” katanya.
Kemenangan Ghazali adalah berdasarkan artikel-artikel terbaik yang ditulis mengenai Batu Arang dan Kajang dari sudut sejarah jarang dikupas dan tarikan istimewa.