KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mahu sektor kesihatan negeri ini digembleng sepenuhnya di bawah inisiatif Perlis Go-Digital bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan lebih pantas, efisien dan holistik.
Baginda bertitah, usaha itu penting bagi mewujudkan sistem rekod perubatan bersepadu yang boleh diakses segera, sekali gus memudahkan perancangan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
“Bahan advokasi kesihatan juga boleh dibangunkan dalam bentuk interaktif dan mudah dicapai bagi memperkukuh literasi kesihatan serta mendorong perubahan tingkah laku positif dalam kalangan masyarakat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena perasmian Karnival Sihat Milik Semua 2025 di Dewan 2020, di sini hari ini.
Program anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dengan sokongan Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis itu diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Karnival tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat selain membina budaya hidup sihat melalui aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan percuma, pameran interaktif dan program pendidikan awam.
Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah kepentingan rakyat Negeri Perlis meningkatkan tahap kesedaran kesihatan, mengamalkan gaya hidup sihat serta mengelakkan tabiat merokok dan penyalahgunaan bahan terlarang. – KOSMO! ONLINE