TEMERLOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil langkah proaktif memasang papan tanda amaran dilengkapi lampu diod pemancar cahaya (LED) di beberapa lokasi dikenal pasti sebagai laluan gajah liar bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata, Papan tanda LED berfungsi memberi amaran awal kepada pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan apabila melalui kawasan yang sering menjadi laluan haiwan berkenaan.
“Setakat ini percubaan awal telah dilaksanakan di Ulu Muda (Kedah), Gerik (Perak) dan Jertih (Terengganu). Satu lagi lokasi di laluan Persiaran Mokhtar Dahari, Selangor turut dipasang papan tanda sama bagi laluan tapir, namun konsepnya serupa,”katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Gajah Sedunia di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang.
Abdul Kadir berkata, papan tanda amaran LED itu akan berkelip secara automatik pada waktu tertentu, terutama pada waktu malam atau ketika dikesan pergerakan haiwan di kawasan berhampiran.
Katanya, Perhilitan juga mengenal pasti beberapa lokasi baharu di seluruh negara untuk dipasang kemudahan tersebut, termasuk di kawasan yang kerap mencatatkan kemalangan membabitkan gajah.
“Di Gerik misalnya, laluan berhampiran kawasan perhutanan mencatatkan insiden kemalangan tinggi. Ada juga kes di Johor seperti di Mersing yang menunjukkan gajah terpaksa melintas jalan akibat habitatnya terjejas,”katanya.
Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri jika terserempak dengan gajah liar, sebaliknya segera menghubungi pejabat Perhilitan terdekat untuk tindakan tangkapan dan translokasi.
Jelasnya, melalui langkah translokasi akan memindahkan gajah berkenaan ke habitat yang lebih sesuai seperti di Taman Negara atau kawasan Tasik Kenyir yang merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Langkah ini penting kerana populasi gajah di Semenanjung Malaysia dianggarkan hanya tinggal sekitar 1,500 hingga 1,800 ekor. Jumlah ini jauh berkurangan berbanding spesies lain seperti harimau Malaya yang kini hanya tinggal kira-kira 120 ekor,” katanya. – KOSMO! ONLINE