fbpx
Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dua hala dengan Lawrence Wong di Singapura hari ini.

Lawatan kerja ke Singapura kukuh hubungan dua hala – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

PETALING JAYA – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong di republik itu, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pertemuan bersama Lawrence Wong memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala yang sudah lama terjalin.

Katanya, ia termasuk membincangkan projek strategik yang berpotensi meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Malaysia.

“Kami turut membincangkan kerjasama baharu dalam sektor pelancongan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain mengukuhkan hubungan ‘people-to-people’ sebagai asas persefahaman jangka panjang.

“Selain itu, kami memperhalusi perbincangan untuk berkongsi amalan terbaik dalam memperkasa undang-undang berkaitan ekonomi gig, yang kini menjadi salah satu sektor penting di kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Malaysia dan Singapura kini meneliti aspek perundangan dan dasar bagi memastikan pemain industri, khususnya pekerja gig, menerima perlindungan serta kebajikan sewajarnya.

Beliau turut berkongsi inisiatif Malaysia menyokong pekerja gig melalui perlindungan sosial dan dasar progresif sebagai sebahagian daripada usaha membina ekonomi digital berdaya saing.

Sementara itu, dalam pertemuan bersama Gan Kim Yong, kedua-dua pihak sependapat mengenai kepentingan memanfaatkan potensi besar pasaran ASEAN untuk meningkatkan perdagangan dua hala.

“Saya turut menegaskan peranan Malaysia sebagai hab halal utama rantau ini, disokong oleh infrastruktur taman perindustrian halal, pensijilan bertaraf dunia serta kerjasama perdagangan serantau yang erat.

“Gan Kim Yong juga memaklumkan bahawa Singapura menghantar tenaga pengajar TVET ke Malaysia, selaras komitmen bersama memperkukuh kualiti dan memperkasa ekosistem TVET,” katanya.

Mengulas mengenai Kepengerusian ASEAN, Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan menghargai kepimpinan Malaysia dalam usaha membendung krisis di persempadanan antara Thailand dan Kemboja.

Tambahnya, ia sekali gus mengangkat peranan aktif negara dalam memastikan keamanan serta kestabilan serantau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI