PETALING JAYA – Kecoh di media sosial dakwaan orang ramai terserempak dengan hantu pocong di sekitar Sepang Putra, Sungai Pelek sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.
Pelbagai cerita dakwaan tular di media sosial, ada yang mengatakan pocong tersebut bukan sahaja muncul di kawasan perumahan tetapi turut mengetuk serta muncul di rumah penduduk.
Para penduduk juga mendakwa kejadian seumpama itu pernah terjadi dahulu namun kembali ‘sepi’ sebelum kini menjadi kecoh semula.
Terbaru, dalam dua keping gambar dimuat naik di Facebook, kelihatan penampakan pocong berbalut kain kafan putih berada berdekatan sebuah sekolah.
Seorang pengguna mendakwa ia bukan kali pertama berlaku, malah telah beberapa kali dilihat namun tidak sempat dirakam oleh para penduduk.
“Kecoh dekat kumpulan WhatsApp taman orang jumpa pocong. Sebenarnya dah ramai yang terserempak tetapi tidak ada yang ambil gambar. Malam tadi siap ada gambar,” dakwa wanita itu.
Seorang lagi pengguna turut mendakwa perkara yang sama namun penampakan pocong itu kali ini di lokasi berbeza iaitu di taman berlainan.
“Mula-mula kecoh budak lepak nampak dekat kawasan rumah, kebelakangan ni makcik-makcik dekat surau bercakap, dekat kawasan rumah mereka pun ada orang nampak ‘cikcong’ ni,” kata seorang wanita.
Sementara itu, seorang pengguna mendakwa kemungkinan ia merupakan modus operandi individu tertentu untuk melakukan jenayah dalam kawasan perumahan tersebut.
“Takut modus operandi penjenayah nak rompak rumah orang. Sebab saya dah pernah terkena dahulu, kononnya pocong. Rupanya perompak berbalut macam pocong,” komen Hazraf. – KOSMO! ONLINE