fbpx
Gambar hiasan

Guru Besar bisik ‘I love you’ sebelum ‘pegang’ murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang guru besar di sebuah sekolah rendah berhampiran pusat bandar disyaki mencabul seorang murid lelaki berusia 12 tahun di dalam tandas sekolah serta pejabatnya sejak bulan Jun lalu.

Perbuatan tidak bermoral yang dilakukan oleh suspek berusia 55 tahun itu terbongkar selepas mangsa, seorang pelajar Tahun 6, menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya dan kemudiannya wanita tersebut bertindak membawa anaknya untuk membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah semalam.

Menurut sumber, anak sulung daripada tiga beradik itu mendakwa kejadian berlaku pada pukul 8 pagi, 29 Julai lalu, ketika dia bersama dua rakannya pergi ke tandas sekolah.

Menurutnya, suspek dilaporkan memasuki tandas dan meminta rakan mangsa untuk kembali ke kelas tanpa menyedari seorang lagi rakannya masih berada di dalam tandas tersebut.

“Suspek kemudian memeluk mangsa dari belakang sambil memegang punggungnya dan berbisik ‘I love you’.

“Guru besar itu memaksa mangsa untuk membalas kata-katanya, menyebabkan kanak-kanak itu terpaksa menjawab ‘I love you too’ dalam keadaan ketakutan,” jelas sumber tersebut.

Mangsa juga mendakwa bahawa kejadian serupa pernah berlaku pada bulan Jun lalu ketika dia dan rakannya diminta untuk membantu meletakkan klip pada sijil di pejabat suspek.

“Tiba-tiba, suspek memeluk dan meraba punggung, dada, serta kemaluan mangsa di hadapan rakannya, tetapi mangsa tidak berani menceritakan kejadian itu kepada ibunya kerana takut dimarahi.

“Namun, kanak-kanak itu akhirnya terpaksa meluahkan segalanya kerana tidak tahan dengan gangguan seksual yang dilakukan oleh guru besar tersebut,” tambah sumber itu.

Difahamkan polis telah merakam keterangan saksi dan melakukan siasatan di tempat kejadian sebelum menahan suspek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI