PONTIAN – Seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas terlibat kemalangan di Kilometer 49.5 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat berdekatan Kampung Jasa Sepakat, di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa, Adnan Mohamed Nor, 56, yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Kempas, Johor Bahru ke rumahnya di Pontian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kedua-dua mereka dari arah yang sama ke Pontian telah bergesel menyebabkan mangsa tersembam di atas jalan.
“Penunggang basikal iaitu lelaki berusia 52 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala, pinggang kanan serta lengan kiri dan telah dihantar ke Hospital Pontian (HP) bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan motosikal jenis Honda Dash 125 yang ditunggangi mangsa bergesel dengan basikal.
“Kes disiasat dibawa Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas. – KOSMO! ONLINE