PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan laporan siasatan berhubung kes kematian kanak-kanak, Zara Qairina Mahathir, telah diteliti dan dinilai oleh Jabatan Peguam Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar Muthuvelu berkata, hasil penilaian mendapati terdapat keperluan untuk menggali semula (exhume) mayat mangsa bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan.
Katanya, langkah ini bertujuan memperoleh maklumat serta bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.
“Proses menggali semula dan bedah siasat akan dilakukan dengan kadar segera berpandukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.
“PDRM menegaskan bahawa keadilan akan sentiasa ditegakkan dan siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang, berasaskan fakta serta keterangan yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE