PETALING JAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap usaha komuniti Kampung Lubok Jambu yang mengusahakan sawah padi bebas racun dan baja kimia sehingga berjaya menghasilkan beras berkualiti tinggi.
Menurut beliau, projek yang diusahakan bersama sahabat lama, Mohd. Yusri di Desa Gemalai membuahkan hasil apabila berjaya menanam padi lima musim sejak dua tahun lalu.
“Alhamdulillah, mereka menghasilkan beras putih, wangi dan perang berkualiti tinggi. Melihat kegigihan mereka mengusahakan tanah hingga membuahkan hasil memberi keyakinan bahawa ekonomi desa mampu diangkat jika semangat, ilmu dan sokongan bergabung,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas singgah di Desa Gemalai, Kota Bharu selepas bertemu tuan guru dan ulama di Bachok pagi tadi.
Beliau turut menghargai peranan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Kelantan dan semua pihak yang membantu dalam menjayakan projek tersebut.
“Usaha ini bukan sekadar menuai padi, tetapi menanam masa depan keterjaminan makanan negara,” katanya.- KOSMO! ONLINE.