KUALA LUMPUR – Gara-gara mahu mengambil jalan pintas untuk ke tempat kerja, seorang lelaki warga asing sanggup menceroboh serta melintas landasan transit aliran ringan (LRT), pagi semalam.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 10.11 pagi daripada anggota polis bantuan Prasarana.
Ujarnya, pengadu memaklumkan kehadiran satu individu tidak dikenali menceroboh landasan LRT Masjid Jamek laluan Ampang dan melintas dari platform dua ke platform satu.
“Pengadu kemudiannya segera ke lokasi dan berjaya menahan suspek sebelum membawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan awal mendapati tujuan suspek menceroboh landasan LRT tersebut adalah disebabkan mahu mengambil jalan pintas untuk laluan ke tempat kerjanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Sulizmie, suspek juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diminta pihak polis.
Ujarnya, kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan san Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Satu permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dipohon pada hari ini di hadapan Majistret untuk tujuan siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melanggar undang-undang dan melakukan perkara-perkara yang boleh membahayakan diri sendiri dan juga orang lain termasuk menceroboh kawasan larangan yang diwartakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














