ACCRA – Menteri Pertahanan dan Menteri Alam Sekitar Ghana maut dalam nahas udara semalam, selepas helikopter tentera udara membawa tiga kru dan lima penumpang terhempas di sebuah kawasan hutan di selatan negara tersebut.
Stesen televisyen Joy News menyiarkan rakaman telefon bimbit dari tempat kejadian menunjukkan serpihan terbakar di kawasan hutan tebal awal semalam.
Menurutnya, dua menteri tersebut, Edward Omane Boamah dan Ibrahim Murtala Muhammed adalah antara yang terkorban.
Media Ghana melaporkan bahawa semasa kejadian, mereka dalam penerbangan untuk menghadiri taklimat berkaitan perlombongan haram yang mencetuskan masalah alam sekitar di negara Afrika barat itu.
“Semua individu di dalam helikopter terbunuh dalam kemalangan di wilayah Ashanti,” kata pihak berkuasa.
Tentera mengesahkan bahawa sebuah helikopter tentera udara hilang dari radar selepas berlepas dari Accra sejurus pukul 9 pagi (waktu tempatan). Ia menuju ke arah bandar Obuasi, barat laut Accra.
Turut terbunuh dalam nahas itu ialah Timbalan Penyelaras Keselamatan Negara dan bekas Menteri Pertanian, Alhaji Muniru Mohammed serta Naib Pengerusi Parti Kongres Demokratik Nasional, Samuel Sarpong.
Tentera Ghana berkata, siasatan telah dilancarkan untuk mengenal pasti punca nahas . – AFP