KUALA LUMPUR – Malaysia kurang selesa dengan prasyarat yang sedang dibahaskan di peringkat antarabangsa bagi mencari penyelesaian jangka masa panjang terhadap konflik di Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia bersetuju sebuah negara Palestin yang merdeka ditubuhkan segera, tetapi banyak perkara didapati tidak selaras dengan dasar luar Malaysia.
“Kita menyokong The Hague Group supaya (kekejaman Israel) dihentikan, tetapi Malaysia berhati-hati.
“Terdapat prasyarat kita rasa kurang selesa untuk kita bersama-sama memperakukan dokumen hasil dikeluarkan negara-negara tersebut,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik-PN) langkah Malaysia untuk mendesak komuniti antarabangsa menghentikan serangan berterusan rejim zionis ke atas Gaza.
Mohamad berkata, Malaysia dalam The Hague Group menegaskan gencatan senjata kekal dilaksanakan terhadap Palestin dan menghentikan tindakan mengusir rakyat Gaza untuk mencapai keamanan.
Menurut beliau, Malaysia juga berpendirian reformasi perlu dilakukan dalam Majlis Kebangsaan Pertubuhan Mangsa-Bangsa Bersatu untuk mengurangkan had kuasa veto dalam kalangan rakan sekutu Israel.
Ujar beliau, kuasa veto perlu dihadkan dan tidak boleh digunakan untuk apa juga sebarang bentuk yang berbentuk jenayah kemanusiaan, kekejaman dan pemusnahan struktur awam.
“Kita tahu susah, tetapi kita berusaha supaya anggota Majlis Keselamatan PBBB ditambah daripada benua Amerika Selatan, Afrika supaya kita ada wakil tetap daripada benua-benua,” katanya. – KOSMO! ONLINE