NEW DELHI – Pengguna jalan raya di negeri Odisha, India mengalami kelewatan selepas kenderaan mereka dihalang seekor gajah liar yang kelaparan, lapor portal berita Times of India.
Kejadian dirakam di laluan Sagargarh-Mandijoda berhampiran hutan Koida baru-baru ini.
Rakaman video di media sosial menunjukkan seekor gajah menghampiri beberapa lori sebelum menggunakan belalainya untuk mencari makanan.
Gajah itu hanya membenarkan pemandu melalui laluan tersebut selepas diberikan makanan.
Pegawai perhutanan, Lalit Kumar Patra menjelaskan bahawa gajah itu sering berkeliaran di jalan raya untuk mendapatkan makanan.
“Ia tidak mendatangkan sebarang bahaya. Pegawai hutan akan sentiasa mengawasi haiwan tersebut,” kata Patra. – AGENSI