LONDON – Pengendali Bayer Leverkusen, Erik Ten Hag dilaporkan sedang berusaha keras untuk mendapatkan semula pemain ‘pujaannya’ yang dibeli ketika beliau mengemudi Manchester United sebelum ini.
Bekas pengurus United itu dilapor sedang berusaha untuk meyakinkan pihak pengurusan Leverkusen untuk mendapatkan khidmat penggempur muda, Rasmus Hojlund bagi memperkuat jentera serangan pasukan itu.
Hojlund menyertai United dari Atalanta pada musim panas 2023 dengan nilai perpindahan £72 juta (RM405.3 juta), namun gagal menepati harapan apabila sekadar menjaringkan 26 gol dan mencatat enam bantuan jaringan dalam 95 penampilan.
Ten Hag sebelum ini memuji pemain Denmark itu apabila menganggapnya penyerang yang agresif, mempunyai fizikal yang kuat dan berpotensi besar, namun prestasi tidak konsisten menyebabkan perancangannya di Old Trafford tidak menjadi kenyataan.
Kedudukan Hojlund semakin terancam selepas pengendali baharu, Ruben Amorim dilaporkan lebih cenderung membawa masuk Benjamin Sesko dari RB Leipzig, sekali gus membuka laluan keluar buat bekas bintang Atalanta itu.
Leipzig turut berminat mendapatkan Hojlund sebagai sebahagian daripada pertukaran untuk Sesko, namun pemain berusia 22 tahun itu menolak cadangan tersebut dan menegaskan keinginannya untuk terus kekal bersama United.
Bagaimanapun, Ten Hag tetap percaya kepada kemampuan Hojlund dan dilaporkan mahu menjadikan pemain itu sebagai tunjang utama projek serangan baharu di Bundesliga bersama Leverkusen musim ini.
Hojlund turut menarik minat beberapa kelab Eropah lain termasuk AC Milan, Inter, Juventus, Napoli, Dortmund dan Eintracht Frankfurt, namun Juventus dikatakan paling serius memandangkan masa depan Dusan Vlahovic dan Randal Kolo Muani masih belum diputuskan. – AGENSI