KUALA TERENGGANU – Individu bujang, duda dan janda beragama Islam di Terengganu yang berhasrat untuk mencari jodoh boleh memanfaatkan portal Jodoh Darul Iman yang dilancarkan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, portal tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu golongan terbabit bertemu jodoh mengikut syariat ditetapkan Islam.
“Portal www.jodohdaruliman.com ini merupakan platform buat anak muda Islam Terengganu mencari jodoh secara beradab tanpa pergaulan bebas tanpa batasan seperti sesetengah aplikasi lain.
“Ia dibangunkan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kawalan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT),” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis pelancaran portal Jodoh Darul Iman itu yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Maliaman berkata, portal tersebut dikhususkan kepada lelaki dan wanita bujang, ibu tunggal dan bapa tunggal Islam berusia 18 tahun ke atas yang
bermastautin di Terengganu.
Beliau berkata, pendaftaran percuma boleh dilakukan menerusi laman web,
www.jodohdaruliman.com dan setiap permohonan akan menjalani saringan ketat status perkahwinan bagi mengelak menyalahgunaan.
“Ia berkonsepkan taaruf secara syarie dengan jaminan keselamatan dan kerahsiaan data pengguna dengan tiada sebarang komunikasi bebas antara peserta dibenarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE