PETALING JAYA – Personaliti masakan, Che Nom menyatakan bahawa hari ini merupakan hari terakhir beliau akan memuat naik video berjenama di laman Instagram miliknya.
Menerusi hantaran terbarunya di Instagram, Che Nom menjelaskan bahawa video penutup itu bukanlah disebabkan rasa kecewa, sebaliknya satu penamat yang manis buat perjalanan panjangnya sebagai pencipta kandungan yang mendapat penajaan sejak bertahun lamanya.
“Bukan sebab kecewa, tapi sebab satu fasa dah pun sampai ke penghujungnya. Cukuplah yang ini jadi penutup yang manis,” tulisnya ringkas.
Che Nom turut berkongsi bahawa video terakhirnya akan memaparkan resipi kegemaran anaknya ‘Creamy Prawn Pasta’ sebagai menu penutup untuk perjalanannya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Che Nom atau telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada menjadi pereka kandungan selepas lebih 10 tahun aktif menghasilkan kandungan digital.
Menurut beliau, antara sebab pengundurannya adalah kerana rasa kecewa setelah video masakannya dicuri dan dijadikan ‘content’ (kandungan) oleh pengguna TikTok lain sehingga meraih hampir 96,000 pengikut.
Sejak membuka saluran YouTube pada tahun 2011, Che Nom telah berjaya menarik lebih 2.34 juta pengikut dengan menghasilkan lebih 559 video resipi yang merangkumi pelbagai kategori masakan tempatan dan antarabangsa.
Walaupun tidak lagi menghasilkan video berbayar, Che Nom menegaskan bahawa akaun Instagram dan platform lain masih akan kekal aktif, namun hanya akan dimuat naik dengan kandungan yang lebih santai dan peribadi tanpa sebarang penajaan.
“Yang terakhir, tapi penuh makna,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.