fbpx

Sains sukan Anderson terbukti berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Skuad renang negara kini memasuki fasa baharu pembangunan apabila program latihan yang lebih tersusun, saintifik dan bersifat individu mula menunjukkan hasil positif sejak kehadiran ketua jurulatih, Eric Anderson, tahun lalu.

Anderson dari Denmark memperkenalkan pendekatan berbeza apabila menekankan latihan yang lebih spesifik mengikut keperluan setiap perenang, selain memberi fokus terhadap keunikan tubuh dan keperluan mental atlet.

“Sejak saya tiba di Malaysia, antara perubahan utama ialah menjadikan latihan dan persediaan lebih spesifik. Contohnya untuk Hoe Yean, kami fokus persediaan 400 meter (m) ikut keperluannya. Begitu juga untuk perenang lain,” kata Anderson.

Baginya, kehadiran jurulatih bukan semata-mata untuk mengubah kebolehan semula jadi atlet, tetapi untuk memberi panduan, keyakinan dan sokongan mental.

Mentaliti itu jelas terzahir dalam prestasi perenang utama negara, Khiew Hoe Yean yang kekal konsisten memecah rekod kebangsaan sejak tahun lalu apabila perenang berusia 23 tahun itu kini memegang lebih 10 rekod dalam banyak acara.

“Setakat ini saya tak pasti jumlah sebenar, tetapi saya rasa lebih 10 rekod telah saya pecahkan. Bagi saya, konsistensi itu kunci utama,” kata Hoe Yean.

Hoe Yean turut mengakui pendekatan sains sukan yang diperkenalkan Anderson memberi impak besar terhadap prestasinya, memandangkan pendekatan berbeza diperlukan mengikut keunikan tubuh setiap individu.

Dia yang menyertai program latihan di bawah Anderson sebelum Sukan Olimpik Paris menyifatkan perubahan itu banyak membawa manfaat kepada prestasinya setakat ini.

Bagi Anderson pula, penyertaan ke pelbagai kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia, Kejohanan Dunia dan Sukan Universiti Dunia (WUG) dianggap penting untuk mendedahkan atlet kepada tekanan sebenar yang tidak boleh disimulasikan dalam latihan tempatan.

“Anda tak boleh rasa tekanan itu di Bukit Jalil atau Sukan SEA. Kalau mahu bina pasukan tahan tekanan, mereka mesti pergi ke tempat yang ada tekanan. Itulah sebab kami ke World Cup dan kejohanan besar lain,” katanya.

Sebagai contoh, Andrew Goh Zheng Yen mencatat masa terbaik peribadi (PB) dan memenangi gangsa di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 dan kini dia semakin memahami keperluan untuk menyesuaikan diri dengan tekanan kejohanan bertaraf dunia.

Di peringkat senior, Hoe Yean terus menyerlah menutup kempen Kejohanan Dunia di Singapura dengan beberapa catatan kompetitif, hanya beberapa hari selepas pulang dari WUG 2025 di Jerman.

Di WUG, Hoe Yean menyumbang pingat perak untuk Malaysia dalam acara 400m gaya bebas dan memecahkan dua rekod kebangsaan masing-masing dalam acara 400m dan 4x200m gaya bebas. Konsistensinya berpunca daripada kestabilan mental dan tumpuan terhadap proses perlumbaan dan baginya kejayaan tidak hanya bergantung kepada kejohanan besar tetapi kepada keupayaan mengekalkan tahap prestasi dalam setiap penyertaan.

Dengan pencapaian skuad renang di WUG dan Singapura, ia bukan sahaja menjadi inspirasi buat pelapis, malah menjadi tonik terbaik menjelang Sukan SEA hujung tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN