KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani sejak tahun 2022 telah mengembalikan peruntukan kepada sekolah pondok dan sekolah agama rakyat yang dibatalkan oleh kerajaan terdahulu.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani komited untuk terus menambah baik keperluan sekolah pondok dan sekolah agama rakyat.
Menurut beliau, komitmen itu bagi memastikan institusi pendidikan tersebut tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara kerana jurang kemudahan antara institusi pondok dan sekolah kebangsaan masih besar.
“Saya bertemu guru-guru pondok yang mengeluh kerana sebelum ini, pemimpin mereka sekarang iaitu kumpulan SG4 (State Government 4) telah membatalkan semua peruntukan kepada sekolah agama rakyat. Saya tidak bersetuju dengan tindakan itu
“Sebab itu pada 2022, kita kembalikan semua peruntukan tersebut kepada sekolah agama rakyat, oleh kerajaan Madani yang dituduh ‘zalim’ sedangkan mereka yang disanjung dan dipuja yang membatalkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berhubung usaha kerajaan merapatkan jurang pendapatan antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri diarahkan menjalankan kajian menyeluruh bagi menambah baik kemudahan di institusi pondok yang daif termasuk di kawasan pembangkang.
Sementara itu, katanya, kerajaan menyokong penuh usaha menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga serta menyokong pembangunan ekonomi biru di Sabah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negeri tersebut.
Beliau turut menegaskan peruntukan kepada Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah telah bertambah berbanding semasa pentadbiran pembangkang di peringkat Persekutuan sebelum ini.
Kata beliau, antaranya sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda di Kedah dan proses peruntukan itu malah dipercepatkan. – KOSMO! ONLINE