SIBU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang pembentung di Jalan Pedada di sini, petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.29 petang.
“Sebaik tiba, anggota dimaklumkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai terjatuh ke dalam lubang pembentung berhampiran laluan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata kenyataan itu, pasukan bomba memulakan operasi pencarian pada pukul 6.55 petang dan berjaya menemukan mayat mangsa terapung di dalam pembentung kira-kira pukul 7 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat kemudian diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE