BANGKOK – Penyanyi terkenal Thailand, Palitchoke Ayanaputra cedera selepas ditikam oleh seorang lelaki di sebuah stesen minyak di negara itu, lapor portal berita Bangkok Post.
Kejadian berlaku sekitar pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) di kejiranan Bang Kapi, Bangkok semalam.
Polis Hua Mak berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan luka di bahagian dagu.
“Pasukan penyelamat segera memberikan bantuan sebelum membawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut,” kata polis.
“Kami telah menahan suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun dari wilayah Samut Songkhram.
“Polis turut menemui sebilah pisau sepanjang 20 sentimeter yang digunakan dalam serangan tersebut,” tambah polis.
Serangan itu tercetus susulan konfrontasi di antara suspek dan mangsa. Semasa disoal siasat, suspek mengaku menikam mangsa tetapi dia bertindak atas alasan mempertahankan diri.
Siasatan sedang giat dijalankan. – AGENSI