KUALA LUMPUR – Polis akan berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat ibu kandung seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan yang didera hingga maut di sebuah rumah di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Khamis lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, langkah itu diambil bagi mengesahkan latar belakang bayi berkenaan serta memaklumkan kepada waris terdekat mengenai kejadian itu.
Menurut beliau, semakan pihaknya mendapati bayi berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Setakat ini, kita telah mengambil keterangan daripada tujuh individu termasuk jiran. Pasangan suami isteri itu masih ditahan reman dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Sebaik sahaja kertas siasatan lengkap, ia akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (untuk tindakan selanjutnya),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, polis memaklumkan kecederaan dan kematian bayi itu berpunca dari penderaan dan penganiayaan yang berterusan sejak sebulan yang lalu.
Siasatan polis mendapati, kecederaan dialami mangsa berpunca bayi berkenaan menangis tidak henti membuatkan ibu angkat berasa tertekan lalu menganiayanya.
Hasil bedah siasatan dijalankan mendapati bahagian kepala bayi berkenaan mengalami retak tengkorak.
Pada 30 Julai, pasangan suami isteri ditahan selepas bayi perempuan berusia tujuh bula ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan kebiruan dan lebam di badan di ruang tamu rumahnya.
Satu laporan polis daripada seorang lelaki pada pukul 9.34 malam memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di kediaman mereka tanpa sebab yang tidak diketahui.
Susulan itu, polis menahan pasangan berusia 38 dan 50 tahun itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611). – KOSMO! ONLINE