PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad melalui anak syarikatnya, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) melakar sejarah apabila melancarkan Monumen Kompaktor di Taman Gelora, Kuantan, bersempena sambutan Hari Penghargaan Pekerja Pembersihan.
Inisiatif ini yang pertama seumpamanya, direalisasikan bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebagai simbol penghormatan kepada pekerja pembersihan yang menjadi barisan hadapan dalam menjaga kebersihan dan kesihatan awam.
Monumen ini dibina daripada lori kompaktor terpakai tahun 2012 yang telah berkhidmat selama 13 tahun, mengutip sampah dari hampir tiga juta premis di Kuala Lumpur dan Pahang.
Ia kini diubah suai sepenuhnya menjadi struktur kekal yang membawa mesej penghormatan, kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Mohamad Muhazni Mukhtar berkata, pembinaan monumen ini adalah manifestasi komitmen Alam Flora dalam memperkasakan imej pekerja pembersihan dan mendidik masyarakat agar lebih menghargai peranan mereka.
“Monumen ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi lambang semangat, ketekunan dan jasa mereka yang menjaga kebersihan kita setiap hari.
“Ia juga menjadi platform pendidikan awam untuk menyemai budaya hormat terhadap pekerjaan pembersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran yang telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Fasiliti SWCorp, Azman Omar.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kawalan Perniagaan dan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Kuantan, Norkamawati Kamal dan Pengarah SWCorp Negeri Pahang, Zaidi Tuah.
Monumen ini dijangka memberi impak positif kepada masyarakat setempat, bukan sahaja sebagai mercu tanda baharu di Taman Gelora, tetapi juga sebagai alat pendidikan visual yang menggalakkan nilai kebersihan, kelestarian dan tanggungjawab bersama.
Ia turut menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih prihatin terhadap penjagaan alam sekitar.
Sebagai tanda sokongan kepada komuniti, Alam Flora turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada 27 pekerja am dan sumbangan kepada 10 keluarga asnaf, sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka. -KOSMO! ONLINE