YAN – Keluarga remaja lelaki yang meninggal dunia kelmarin selepas tiga hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar setelah terbabit dalam nahas jalan raya di simpang empat lampu isyarat pekan Guar Chempedak meminta orang ramai menghentikan tohmahan mengatakan mangsa menjadi punca nahas.
Muhammad Nur Iman Danial Mohd. Roshidi, 16, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9 malam ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
Bapa mangsa, Mohd. Roshidi Alias, 44, berkata, ada pihak membuat spekulasi menyatakan anaknya yang melanggar lampu isyarat merah dalam kejadian itu, sedangkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada orang awam membuktikan sebaliknya.
“Kami memperoleh video kejadian itu yang jelas menunjukkan anak kami baru memulakan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, manakala kenderaan yang merempuhnya melanggar lampu isyarat merah di laluannya dari Jenun ke Yan ketika itu.
“Disebabkan Muhammad Nur Iman telah meninggal dunia, dia tidak dapat menjelaskan kejadian sebenar dan sekarang jalan terbaik ialah menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.
Ujarnya, dia mahu polis menjalankan siasatan dengan telus dan memaklumkan segera keputusan siasatan bagi mengelak spekulasi mengatakan anaknya menjadi punca kejadian itu.
“Sudahlah sedih kehilangan anak, sekarang keluarga kami pula terpaksa berdepan dengan tohmahan dan fitnah yang bukan-bukan,” katanya.
Kejadian yang membabitkan Muhammad Nur Iman berlaku pada pukul 9.10 malam Isnin lalu di simpang empat lampu isyarat Guar Chempedak semasa mangsa menunggang motosikal Yamaha LC sebelum dirempuh kereta Perodua Axia yang dikatakan melanggar lampu merah di situ.
Remaja itu dimasukkan ke HSB kerana kecederaan parah di kepala dan tidak sedarkan diri dan malam kelmarin dia menghembuskan nafas terakhir.
Sementara itu, ibu mangsa, Norliza Salleh, 44, yang ditemui masih bersedih kerana terkilan tidak dapat memenuhi permintaan anaknya meminta wang RM10 untuk berbelanja pada petang Isnin sebelum kemalangan berlaku.
“Ketika itu saya agak kalut nak ke tempat kerja di Hospital Yan dan tidak dapat memberi wang belanja yang dimintanya.
“Selalunya saya tidak pernah gagal berbuat demikian kerana saya tahu duit itu digunakan untuk makan malam,” katanya.
















