MUAR – Seorang kerani wanita ‘terduduk’ apabila kerugian sebanyak RM277,587.45 akibat terperdaya penipuan kerja sambilan secara atas talian, di sini, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, polis menerima satu laporan berhubung kes penipuan kerja sambilan secara atas talian berkenaan semalam.
“Mangsa seorang wanita berusia 42 tahun yang bekerja sebagai kerani telah membuat carian kerja sambilan di platform Google sebelum menekan satu pautan dan berhubung dengan seorang individu
melalui aplikasi WhatsApp yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada sebuah syarikat yang kononnya bernama ‘HR HotelRunner’.
“Mangsa seterusnya berhubung dengan seorang lagi individu yang mengarahkannya untuk membuat beberapa tugasan tempahan bilik hotel secara atas talian dengan membuat bayaran terlebih dahulu di mana mangsa dijanjikan pulangan komisen antara 10 peratus hingga 35 peratus bagi setiap transaksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, mangsa pada mulanya menerima pulangan komisen setelah membuat transaksi yang pertama, lalu meneruskan tugasan seterusnya.
Ujar beliau, dalam tempoh singkat, mangsa telah melakukan sebanyak 44 transaksi ke 13 akaun bank berbeza, dengan jumlah keseluruhan bayaran mencecah RM277,445.65 di mana ke semua bayaran ini didakwa sebagai bayaran untuk melengkapkan tugasan.
“Mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu apabila diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi pengeluaran pulangan yang dijanjikan.
“Mangsa tidak membuat bayaran lanjut dan tampil membuat laporan polis. Difahamkan, wang yang digunakan mangsa adalah daripada simpanannya sendiri. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan,”katanya. – KOSMO! ONLINE