PETALING JAYA – Projek pembinaan jalan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hampir siap dan dijangka dibuka kepada pengguna bulan depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu mencapai kemajuan 96 peratus dengan baki kerja tertumpu kepada pemasangan papan tanda dan lampu jalan.
Katanya, projek itu melibatkan pembinaan jalan baharu lengkap dengan persimpangan bertingkat, jejambat, sistem perparitan, pemasangan utiliti dan pembinaan pencawang SEB baharu.
“Projek ini membuktikan pelaburan dalam jaringan jalan yang strategik adalah penting untuk masa depan yang lebih baik dan inklusif.
“Ia bakal menjadi laluan alternatif yang penting menghubungkan Samarahan ke Kuching, sekali gus mengurangkan kesesakan di laluan utama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, dengan jaringan jalan yang lebih tersusun dan berdaya saing, negara membuka peluang pembangunan lebih besar dan memperkukuh kesalinghubungan bandar.
“Sebagai Menteri Kerja Raya, saya amat menitikberatkan pelaksanaan projek infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Kementerian Kerja Raya akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, selari dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030,” katanya. – KOSMO! ONLINE