LUMUT – Sebanyak 432 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi 14 kilogram (kg) disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dari sebuah ladang ternakan ayam di kawasan Segari, Manjung petang semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan di bawah Ops Gasak 2025 pada pada pukul 6 petang itu telah dilaksanakan oleh anggota dan pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Manjung.
“Serbuan dilaksanakan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi di lokasi terbabit.
“Hasil serbuan telah berjaya menjumpai 432 tong LPG bersubsidi 14kg pelbagai jenama yang digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan pemanasan dalam beberapa buah reban ayam,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, serbuan juga telah berjaya menemui sebuah lori milik syarikat pembekal LPG yang sedang memunggah tong gas ke dalam reban.
Menurut Kamalludin, hasil pemeriksaan lanjut mendapati LPG tersebut digunakan bagi tujuan perniagaan tanpa sebarang permit atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan.
“Dua lelaki tempatan berusia 50 dan 40 tahun, masing-masing bertugas sebagai pengurus ladang dan pemandu lori, telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Sehubungan itu, pasukan pegawai penguat kuasa KPDN telah mengambil tindakan menyita sejumlah 432 tong LPG bersubsidi, sebuah lori muatan 5 tan, kunci lori, buku resit dan beberapa dokumen berkaitan dengan nilai sitaan dianggarkan RM76,051.20,” katanya.
Beliau berkata, pemilik ladang disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.
“Pembekal LPG yang terlibat juga akan disiasat kerana disyaki melanggar Peraturan 9(2) (PPKB) 1974 kerana menjual barang kawalan berjadual kepada pihak yang tidak dibenarkan dan oleh itu menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) PPKB 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE