ASSALAMUALAIKUM, anak bongsu saya telah meninggal dunia di Medan, Indonesia akibat demam dan jangkitan kuman. Arwah merupakan pelajar perubatan di universiti di sana. Arwah meninggal pada pukul 2.30 pagi waktu Medan. Saya dan suami ada bersama arwah ketika itu. Alhamdulillah, anak saya dikebumikan pada pukul 8.30 malam hari yang sama dan semuanya berjalan lancar. Setelah hampir dua bulan, saya menjadi sedih memikirkan bahawa saya telah menyeksa anak saya kerana tidak mempercepatkan proses pengebumian. Saya terbaca di group WhatsApp mengatakan bahawa satu tindakan yang jahil sekiranya tidak mengebumikan jenazah yang meninggal dunia di luar negara di tempat dia meninggal. Soalannya, adakah saya berdosa terhadap jenazah anak saya tersebut?
JAWAPAN: BAGI menjawab persoalan di atas, kami menukilkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW menyuruh supaya disegerakan urusan berkaitan pengebumian jenazah dengan bersabda: “Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya.
Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu. (Hadis riwayat al-Bukhari, 1315 dan Muslim, 944)
Syeikh ‘Ilisy al-Maliki menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadis di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan, namun tanpa tergopoh-gapah. Bahkan, makruh hukumnya jika dengan kelajuan yang menyukarkan untuk orang lain mengikutinya. (Rujuk Fatawa Syeikh Ilisy, 1:155)
Bagaimanapun, diharuskan dan dibolehkan untuk menangguhnya jika mempunyai sebab yang kuat dan maslahah lebih besar.
Antaranya, jika sekiranya terdapat syak tentang kematiannya seperti seseorang mati disebabkan oleh lemas, penyakit berkaitan perut, kematian mengejut dan seumpamanya kerana masih berkemungkinan untuk hidup.
Hal ini seperti disebut di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: “Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa jika sekiranya diyakini kematian seseorang tersebut, maka hendaklah bersegera untuk menyiapkan pengebumiannya dan tidak boleh sengaja dilambat-lambatkan. Jika sekiranya seseorang itu mati dalam keadaan mengejut, maka hendaklah dibiarkan terlebih dahulu sehinggalah diyakini kematiannya. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16:7)
Menunggu supaya dapat disembahyangkan oleh jemaah yang lebih ramai. Dibolehkan untuk menangguhkan pengebumian seperti seseorang yang mati di awal pagi jumaat ditangguhkan sehingga selepas solat Jumaat untuk mendapatkan jumlah jemaah ramai.
Hal ini kerana jenazah yang disembahyangkan oleh jemaah ramai akan dapat memberikan syafaat kepada si mati, lebih-lebih lagi jika disertai oleh ramai orang-orang soleh dan beriman.
Menunggu kedatangan ahli waris untuk melihat jenazah buat kali terakhir selama mana tidak terlalu lama. Hal ini seperti disebutkan di dalam kitab Faydh al-Qadir: “Hendaklah menunggu walinya (untuk melihat jenazah) selagimana tidak dikhuatiri perubahan berlaku pada mayat. (Rujuk Faydh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 3:377)
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa menangguh pengebumian adalah diharuskan jika terdapat sebab munasabah. Bahkan dituntut jika terdapat maslahah lebih besar apabila menangguhnya pada kadar tidak terlalu lama. Di samping itu, para ulama juga menyatakan bahawa adalah disunatkan untuk mengebumikan jenazah di tempat dia meninggal dunia.
Bagaimanapun, diharuskan untuk memindahkan jenazah untuk dikebumikan di tempat lain selagi mana mempunyai sebab dan maslahah kuat serta tidak mengambil masa lama sehingga menjangkau dua atau tiga hari. Jika mengambil masa terlalu lama, maka hukumnya adalah makruh.
Kesimpulannya, kami menyimpulkan bahawa dibolehkan dan harus hukumnya untuk mengebumikan jenazah bukan di tempat dia meninggal dunia serta melewatkan sedikit pengebumian jenazah selagi mana mempunyai sebab kuat.