MADRID – Penyerang utama Real Madrid, Kylian Mbappe mendapat tonik terbaik selepas diberikan jersi ikonik No. 10 secara rasmi bagi mengharungi musim baharu La Liga yang akan bermula secara rasmi pada 18 Ogos depan.
Pemain antarabangsa Perancis itu telah diberikan nombor kegemarannya selepas bekas kapten pasukan, Luka Modric sudah melengkapkan perpindahan ke AC Milan selepas kontraknya berakhir, Jun lepas.
Situasi tersebut menyaksikan Mbappe menjadi pemain terbaharu yang menyarung jersi No. 10 sekali gus mengikut jejak legenda pasukan seperti Mesut Ozil, Luis Figo, Clarence Seedorf dan Ferenc Puskas.
Pada musim lalu, Mbappe yang diberikan jersi No. 9 telah mempamerkan prestasi luar biasa apabila meledak 44 gol dalam 59 perlawanan kompetitif.
Namun, impak penyerang itu dalam skuad The Galacticos dipertikai kerana gagal membantu pasukan menjuarai sebarang trofi bermakna pada musim lepas dengan Barcelona meraih gelaran trebel di peringkat domestik.
Kini, Mbappe yang berusia 27 tahun yakin No. 10 dapat memberi tuah baharu untuk memastikan Real kembali mendominasi peringkat domestik dan saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Selain Mbappe, pertahanan Real, Raul Asencio turut diberikan jersi baharu dengan No. 17 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Lucas Vazquez.
Hanya No. 9 dan No. 25 yang masih belum menjadi milik mana-mana pemain dengan jangkaan dua jersi tersebut diberikan kepada pemain muda, Gonzalo Garcia dan Franco Mastantuono. – AGENSI