JOHOR BAHRU – Dua anggota polis direman selama tujuh hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM635,000 daripada seorang individu supaya tidak mengambil tindakan atas kesalahan aktiviti perjudian.
Perintah reman ke atas kedua-dua suspek sehingga 5 Ogos ini dikeluarkan Majistret Mohammad Izham Mohd. Aliyas selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pagi tadi.
Menurut sumber, suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an ditahan pada pukul 2 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat meminta dan menerima wang secara tunai itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu atas kesalahan judi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.- KOSMO! ONLINE