SHAH ALAM – Meningkatkan persepsi positif merupakan fokus utama Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar yang dilantik berkuat kuasa hari ini.
Shazeli berkata, ia akan dilakukan bersama Kontinjen Selangor dalam dalam menonjolkan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara keseluruhannya.
Katanya, pihaknya akan memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat di Selangor.
“Tugas saya yang pertama ialah untuk berusaha bersama pasukan dalam meningkatkan persepsi positif masyarakat Selangor terhadap PDRM. Itu adalah fokus utama saya. Insya-Allah kita akan bekerjasama ke arah matlamat tersebut.
“Persepsi positif ini berkait rapat dengan pelbagai isu yang boleh diuruskan, dan daripada situ kita akan susun langkah seterusnya mengikut keperluan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau secara rasmi mengambil tugas Ketua Polis Selangor daripada Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan pada majlis serah terima tugas yang disaksikan
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Polis (CP) Gilbert anak Philip Layang.
Shazeli yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur memaklumkan, beliau tidak pernah berkhidmat di negeri ini dan pelantikan tersebut merupakan kali pertama beliau ditugaskan di Selangor.
Jelasnya, pendekatan strategik akan dibincangkan bersama pasukan kontinjen dalam menghadapi cabaran khususnya dalam konteks kadar jenayah dan kepadatan penduduk di negeri ini.
“Saya juga akan berhubungan dan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri. Kita tidak boleh bergerak secara bersendirian.
“Malah, saya yakin kerajaan negeri turut komited untuk bersama-sama dengan PDRM dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Selangor sentiasa terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE