fbpx
AMMAAR bergiat aktif dalam dunia free flying seawal usia 14 tahun.

Ammaar cari duit poket dengan melatih burung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI free flying merupakan salah satu cabang pemeliharaan burung yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pencinta haiwan, khususnya burung eksotik seperti kakak tua dan helang.

Ia merujuk kepada latihan dan pembebasan burung untuk terbang bebas di ruang terbuka tanpa sangkar dengan keupayaan burung tersebut kembali semula kepada tuannya.

Bagi Muhammad Ammaar Wafi Yazid, minat terhadap burung kakak tua mula bercambah sejak di bangku sekolah menengah.

Bermula dengan sekadar melihat video di media sosial, remaja berusia 17 tahun itu akhirnya mengambil langkah memelihara seekor burung kecil di rumah.

Minat tersebut berkembang dan membawa dirinya ke dunia free flying seawal usia 14 tahun, selepas setahun memerhati dan belajar daripada komuniti pencinta burung yang aktif di Selangor.

Menurut Ammaar, proses melatih burung untuk aktiviti free flying bukan semudah disangka kerana ia memerlukan kesabaran, rutin harian dan hubungan rapat antara tuan dan burung.

“Salah satunya, kita kena manjakan dia (burung) dulu. Tuan burung perlu belai dan main dengannya setiap hari. Sebab burung ni kalau tak layan, nanti boleh jadi masalah.

“Bila burung stres, dia gigit bulu sendiri. Kalau nak latih burung ni memang kena ada masa. Kalau tak ada masa, susahlah nak serasi,” jelasnya.

Antara langkah awal yang dilakukan adalah memanjakan burung melalui belaian dan makanan kesukaan seperti kuaci dan kacang.

Latihan dimulakan di dalam rumah melalui panggilan dari jarak dekat sebelum dibawa keluar ke kawasan terbuka.

Namun tidak semua burung akan kembali dan risiko kehilangan sentiasa ada.

AMMAAR juga mengambil upah melatih burung untuk free flying sebagai pendapatan sampingan.

Berkongsi kisah peribadi, pelajar Sekolah Menengah Dato’ Hamzah, Klang, Selangor itu mengakui pernah kehilangan burung sebelum berjaya menemuinya semula enam bulan kemudian.

“Saya ada kes juga, pernah hilang dekat enam bulan. Tapi ada orang jumpa dan di kaki ada ring lesen dengan nombor telefon.

“Mereka pulangkan semula kepada saya. Sebab itu penting untuk pasang Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) sebagai langkah keselamatan ketika membebaskan burung,” katanya.

Kini, Ammaar memelihara tiga ekor burung iaitu Boy, Lana dan Aru yang telah dilatih untuk terbang dalam formasi.

Aktiviti free flying biasanya dijalankan di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur setiap hujung minggu bersama komuniti pencinta burung lain.

Walaupun masih bergelar pelajar, anak keempat daripada lima adik-beradik itu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan hobinya.

Setiap pagi sebelum ke sekolah, dia akan bangun seawal pukul 6 pagi untuk memberi makan dan memastikan burung berada dalam keadaan baik.

Anak muda dari Klang, Selangor itu juga menjaga kebersihan burung dengan memandikannya tiga kali seminggu bagi mengelakkan masalah kutu.

Makanan pula diberi tiga kali sehari mengikut waktu yang tetap.

Menariknya, walaupun masih muda, Ammaar kini sudah mula menjana pendapatan sampingan dengan menawarkan khidmat latihan burung kepada pemilik yang tidak mempunyai pengalaman.

“Ini bukan sekadar hobi, saya juga jadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Kadang-kadang ada orang belajar melatih burung dengan saya sebab mereka tidak cukup pengalaman nak lakukan sendiri.

“Saya juga aktif berkongsi pengalaman melalui platform Facebook yang menjadi medium utama komuniti kami berhubung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN