SUNGAI PETANI – Kumpulan Syarikat EMZI terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh jenama serta memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Terkini, EMZI Care Outlet yang terletak di SP Plaza, di sini bakal dinaik taraf menjadi sebuah farmasi berkonsepkan moden dan interaktif menjelang bulan depan.
Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Syarikat EMZI, Amir Asyraf berkata, langkah strategik itu bukan sahaja memantapkan kehadiran fizikal jenama EMZI, malah membuka lembaran baharu dalam penyampaian servis kesihatan holistik kepada masyarakat setempat.
Katanya, Farmasi EMZI Care menampilkan rekaan dalaman yang moden, kemas dan informatif dengan ia direka khas untuk memberikan pengalaman menarik kepada pelanggan dalam mendapatkan produk serta khidmat nasihat kesihatan.
“Petugas berkelayakan akan bersedia memberikan konsultasi secara profesional, membantu pelanggan memahami keperluan kesihatan mereka dan mencadangkan produk bersesuaian secara peribadi.
“Pendekatan itu bertujuan menjadikan setiap kunjungan bukan sekadar membeli, malah sebagai pengalaman pembelajaran yang bermanfaat untuk gaya hidup sihat,” katanya.
Selain menawarkan produk kesihatan sedia ada, beliau berkata, Farmasi EMZI Care juga menyediakan akses kepada ubat-ubatan terkawal, khidmat nasihat kesihatan profesional serta pelbagai produk penjagaan kesihatan yang diyakini dan berkualiti tinggi.
“Pelanggan juga boleh mendapatkan rangkaian produk EMZI Care termasuk Kopi Ala Kazim, Olive Tin dan Teh Tarik Mahmudi yang mana kesemua produk dijamin halal dan diproses mengikut piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) melalui kilang EMZI yang telah melepasi ujian saintifik dan klinikal.
“Sebagai jenama diasaskan melalui kajian, pembangunan produk dan pengilangan yang mematuhi standard kesihatan ketat, EMZI Care kini dikenali sebagai antara jenama tempatan yang dipercayai dalam industri kesihatan dan gaya hidup sihat,” ujarnya.
Jelasnya, penubuhan farmasi itu secara langsung menjadi bukti nyata terhadap komitmen berterusan EMZI dalam meningkatkan taraf kesihatan pengguna melalui akses kepada produk yang selamat, berkesan dan terbukti melalui kajian.
Kata Amir lagi, pendekatan yang dilakukan itu turut mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkukuh hubungan dengan pengguna serta memudahkan akses kepada produk yang dikeluarkan oleh syarikat.
“Ini bukan sekadar kedai atau farmasi, ia simbol fizikal janji jenama kami untuk mempromosi gaya hidup sihat menerusi penyelesaian mampu milik dan terbukti secara saintifik,” katanya.
Tambahnya, Farmasi EMZI Care bukan sahaja berperanan sebagai pusat pembelian produk kesihatan, tetapi juga sebagai destinasi rujukan kesihatan komuniti.
“Ia selari dengan komitmen Kumpulan Syarikat EMZI dalam merealisasikan visi We Deliver Better Health to Your Home yang menjadi asas dalam setiap usaha memperkasakan kesejahteraan pelanggan di seluruh negara.
“Direka dengan keselesaan pelanggan sebagai keutamaan, farmasi EMZI Care menawarkan pilihan produk kesihatan berkualiti dan layanan profesional yang dipercayai ramai,” tambahnya.