fbpx
Gambar hiasan

Empat sekeluarga warga Afghanistan gagal masuk negara guna visa palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hasrat empat sekeluarga warga Afghanistan yang cuba memasuki Malaysia menggunakan visa palsu tidak kesampaian apabila ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan berkata, mereka antara 132 warga asing yang diperiksa dalam operasi pemantauan serta saringan dokumen di pintu masuk negara berkenaan.

“Empat individu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita dikesan berlegar-legar tanpa hala tuju di kawasan terminal KLIA dan mencetuskan kecurigaan Pasukan Unit Pemantau.

“Siasatan mendapati kesemua individu itu tiba di Malaysia jam 9.20 malam pada Khamis lalu, menerusi penerbangan EK342 yang dikendalikan oleh Emirates Airlines,” katanya.

AKPS berkata, hasil soal siasat lanjut mendedahkan bahawa kesemua individu terbabit adalah penumpang basi, iaitu penumpang yang tiba di negara ini tetapi gagal melaporkan diri di kaunter pemeriksaan imigresen dalam tempoh masa ditetapkan.

Menurutnya, mereka berada di kawasan terminal selama empat hari tanpa melalui proses pemeriksaan imigresen seperti yang sepatutnya.

Selain itu, semakan ke atas dokumen perjalanan mendapati kesemua visa milik mereka adalah palsu.

“Kesemua mereka mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke Uzbekistan yang kononnya sebagai transit. Visa palsu itu juga diperoleh melalui seorang ejen dengan bayaran sebanyak AS$6,000 (kira-kira RM25,386),” katanya.

Menurut AKPS, pihaknya mengambil tindakan menolak kemasukan keempat-empat individu terbabit dan mereka akan dihantar balik ke negara asal dengan penerbangan Emirates Airlines, esok.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI