KUALA LUMPUR- Hampir sejuta pengguna akan merasai impak signifikan susulan penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya kerana terdapat jurang besar antara kadar tol dikenakan kepada pengguna dengan kadar tol yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kuantum kadar kenaikan bagi kenderaan kelas satu berdasarkan perjanjian konsesi bagi 10 lebuh raya terlibat adalah antara 50 sen hingga RM4.56 atau sebanyak 79 hingga 83 peratus.
“Sebagai contoh, pengguna kenderaan kelas satu yang melalui Plaza Tol Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX) akan menikmati penjimatan RM6.80 bagi perjalanan pergi dan balik.
“Perkara itu disebabkan kadar tol perjanjian konsesi pada 2025 ialah RM6.90, namun kadar tol semasa dikekalkan pada RM3.50 untuk perjalanan sehala,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah Nanta, sekiranya jumlah penjimatan ini didarabkan selama 20 hari, iaitu penggunaan bagi tempoh sebulan atau 240 hari (setahun), penjimatan yang akan dinikmati oleh pengguna terbabit ialah RM136 sebulan atau RM1,632 setahun.- KOSMO! ONLINE.