SUNGAI PETANI – Kira-kira RM71,000 diperlukan bagi pembelian tiket penerbangan pulang 39 jemaah termasuk seorang mutawif yang ketika ini terkandas di Jeddah.
Pengarah Urusan Firabib Group Sdn. Bhd., Mohd Firdaus Mat Akhir berkata, setakat ini, sebuah agensi pelancongan menawarkan khidmat untuk membantu menguruskan tiket penerbangan tersebut.
“Setakat ini kos yang dimaklumkan berjumlah RM71,000 dan sebagai jaminan agar mereka boleh pulang ke tanah air, saya akan dahulukan wang tersebut,” katanya.
Beliau yang juga Pengurus Cawangan Utara Hyad Travel Malaysia Sdn. Bhd. berkata, kakitangan syarikatnya di ibu pejabat juga telah bertungkus-lumus sejak semalam bagi menguruskan perkara itu.
“Kita juga telah mendahulukan RM4,000 bagi kos penginapan tambahan selama satu malam buat kesemua jemaah yang kini berada di Jeddah,” ujarnya.
Katanya, dia bagaimanapun masih belum dapat memastikan jumlah sebenar yang diperlukan termasuk urusan makan dan pengangkutan ke lapangan terbang bagi memastikan semua jemaah dalam keadaan baik sebelum dibenarkan menaiki penerbangan.
Terdahulu, Mohd Firdaus menerusi akaun media sosial miliknya mengumumkan sedia menguruskan penerbangan kesemua jemaah terkandas untuk pulang ke tanah air secepat mungkin.
Media baru-baru ini melaporkan, seramai 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas sebuah agensi pelancongan dari syarikat lain yang menguruskan perjalanan mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air. – KOSMO! ONLINE