KUALA LUMPUR – “Saya tak nafi ada anggota Unit Amal (Pas) bersihkan sampah, saya ucap terima kasih, namun tidak boleh dinafikan juga 20 tan sampah bersepah di Sogo, Dataran Merdeka dan Jalan Petaling.”
Demikian penegasan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung hampir 20 tan sampah ditinggalkan oleh peserta Himpunan Turun Anwar di ibu negara pada Sabtu lalu.
Jawapan beliau pada sidang Dewan Rakyat hari ini, bagaimanapun, mengundang rasa tidak puas hati Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa Kor Ming berbohong dalam perkara tersebut.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) terlebih dahulu mempersoalkan 20 tan sampah ditinggalkan peserta Himpunan Turun Anwar tidak sepadan dengan anggaran 18,000 peserta oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)
“Ia berdasarkan laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang saya terima di lapangan sehingga ratusan petugas dikerah kutip sampah selepas himpunan.
“Kerajaan Madani menghormati Perlembagaan Persekutuan dan menjulang prinsip demokrasi mengalu-alukan perhimpunan aman, namun perlu dibuat secara aman dan tertib.
“Ia termasuk menjaga kebersihan yang saya tegur sikap pengotor. Siapa makan cili, dia rasa pedas. Saya tak pernah kata Yang Berhormat yang buang sampah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, Kor Ming dilaporkan berkata, SWCorp Malaysia dah Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mengutip 20 tan sampah selepas penganjuran Himpunan Turun Anwar.
Beliau dipetik sebagai berkataa, kerja-kerja pembersihan dilakukan sehingga pukul 3.30 pagi bagi memastikan kawasan terjejas kembali bersih.
Katanya, KPKT kesal dengan sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab peserta perhimpunan itu membuang sampah merata-rata sehingga mencemarkan kebersihan ibu negara. – KOSMO! ONLINE