fbpx
Gambar hiasan.

Dewan Rakyat: 465 kes pencerobohan tanah milik Kerajaan Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, sebanyak 465 kes pencerobohan direkodkan di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan di seluruh negara sejak tahun 2015.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pencerobohan yang direkodkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) itu adalah sehingga Mei tahun ini.

Beliau yang turut menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, notis penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara akan dikeluarkan kepada penceroboh bagi tujuan pengosongan.

“Tanah milikan Persekutuan di seluruh negara meliputi keluasan 215,406 hektar dan tindakan penguatkuasaan sentiasa dilakukan bagi menangani isu pencerobohan.

“Bagi kes di Pulau Pinang sahaja terdapat 26 aduan melibatkan 18 lot tanah milik Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) berhubung jumlah tanah milik kerajaan Persekutuan yang diceroboh di seluruh negara.

Johari berkata, notis penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) akan dikeluarkan untuk mengosongkan tapak bagi setiap pencerobohan.

Kata beliau, JKPTG akan melaksanakan penyelarasan bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan dan kementerian atau Jabatan Pengguna (KJP).

Katanya, selepas pengosongan, kementerian atau KJP yang menggunakan tanah itu bertanggungjawab mengawal kawasan bagi mengelakkan pencerobohan berulang.

Beliau berkata, setiap tanah milik Persekutuan mempunyai perancangan di bawah Rancangan Malaysia, namun pelaksanaannya bergantung kepada keutamaan dan peruntukan.

Jelas beliau, bagi memastikan penggunaan tanah secara optimum, JKPTG melaksanakan kaedah tukar guna kepada kementerian atau agensi lain yang memerlukan serta melalui kaedah sewaan dan pajakan tanah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI