GEORGE TOWN – Seramai 20 kanak-kanak termasuk seorang bayi perempuan berusia 15 hari diselamatkan dalam operasi khas di sebuah gudang dan rumah yang dijadikan pusat pembelajaran tidak berdaftar di Bukit Mertajam minggu lalu.
Operasi itu dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia susulan aduan orang awam dan pemantauan pihak JKM terhadap kegiatan mencurigakan sekumpulan kanak-kanak yang dilihat kerap keluar masuk premis menyerupai gudang.
Turut diselamatkan dalam operasi pada 21 Julai lalu ialah seorang wanita berusia 20 tahun dipercayai ibu kandung bayi perempuan tersebut.
Kesemua mereka dipercayai terdiri daripada pelbagai warga negara dan bertutur dalam bahasa Mandarin selain kurang fasih berbahasa Melayu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, pmeriksaan mendapati kanak-kanak itu dipercayai tidak menerima keperluan mencukupi seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal selamat.
“Mereka yang diselamatkan berusia 15 hari hingga 16 tahun. Berdasarkan siasatan awal, 12 kanak-kanak termasuk bayi tiada sijil lahir, enam mempunyai dokumen sah, namun tiada ibu bapa dan dua telah diserahkan kepada keluarga terdekat,” katanya pada sidang akhbar sebentar tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebahagian kanak-kanak itu tidak mempunyai penjaga yang sah.
“Keadaan di gudang ini sangat tidak bersih dan tidak sesuai untuk didiami apatah lagi kanak-kanak. Tempat itu bukan rumah jagaan atau pusat pendidikan. Kanak-kanak tidak patut berada di situ,” katanya.
Tambahnya, ketika serbuan, lima orang dewasa disyaki penjaga turut berada di lokasi dan mereka adalah individu tempatan berusia lebih 18 tahun. Kesemua mereka sedang disiasat oleh pihak polis. -KOSMO! ONLINE