fbpx
RAMAI wanita kini hidup dalam kemurungan selepas terpedaya dengan janji-janji manis suami yang meninggalkan mereka selepas terjerat hutang. – GAMBAR HIASAN

Percaya kata manis suami akhirnya terjerat hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Semakin ramai wanita di Malaysia, khususnya golongan isteri, kini terperangkap dalam kancah beban hutang yang bukan berpunca daripada kesilapan sendiri, tetapi akibat manipulasi dan eksploitasi kewangan oleh pasangan, termasuk suami, teman lelaki mahupun ahli keluarga.

Lebih membimbangkan, fenomena ini semakin meruncing apabila jumlah hutang yang ditanggung wanita ini dianggarkan mencecah lebih RM450 juta sebulan, menurut statistik dikumpul oleh Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin Malaysia (PWRN).

Realitinya, ramai wanita terutama yang bekerjaya bukan sahaja terbeban dengan komitmen kewangan mereka sendiri, malah dipaksa atau diperdaya menanggung pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, hutang kad kredit, serta pinjaman tidak bercagaran atas nama mereka sendiri semata-mata untuk memenuhi kehendak atau agenda pihak lain.

Wartawan Kosmo! Ahad, Nur Alwani Zafirah Khairul, menemu bual Presiden PWRN, Jannahtul Ain Jaafar, di pejabatnya di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini bagi mengupas realiti hitam golongan wanita yang menjadi mangsa eksploitasi kewangan oleh individu yang mereka percaya.

KOSMO! AHAD: Benarkah wa­nita kini antara mangsa utama beban hutang di Malaysia?
JANNAHTUL AIN: Ya, benar dan amat membimbangkan. Berdasarkan kajian kami sepanjang dua tahun kebelakangan ini, lebih 6,000 aduan kami terima melibatkan kes wanita menanggung hutang yang bukan mereka gunakan.

Secara anggarannya, lebih ­RM450 juta hutang ditanggung wanita setiap bulan termasuk yang membabitkan pinjaman peribadi, pembelian aset, modal perniagaan, dan paling parah hutang ah long.

Ini bukan kes terpencil. Ia sudah menjadi satu pola pende­raan kewangan terhadap wanita yang tersembunyi dalam institusi kekeluargaan.

Kenapa jumlahnya begitu tinggi? Adakah ini kerana kelemahan wanita?
Bukan soal kelemahan wanita, tapi kerana kepercayaan yang dimanipulasi. Ramai isteri dipergunakan oleh suami atau pasangan.

Mereka dipaksa membuat pinjaman atas nama sendiri, ko­nonnya untuk bantu perniagaan suami, beli rumah, bayar hutang lama atau sebagai ‘pengorbanan’ demi cinta dan keluarga.

Namun apabila bayaran perlu dibuat, mereka ditinggalkan sendirian. Suami lesap, hubu­ngan putus, atau lebih teruk terdapat si isteri diugut dan dipersalahkan dalam bebanan hutang tersebut.

JANNAHTUL AIN memberitahu, ramai wanita dipaksa membuat pinjaman atas nama sendiri kononnya untuk bantu perniagaan suami.

Apakah bentuk eksploitasi kewangan yang sering berlaku?
Antara yang biasa kami jumpa ialah wanita yang membuat pinjaman berjumlah besar, dari RM100,000 hingga setengah juta ringgit.

Ini termasuk pinjaman peri­badi, pinjaman mikro, skim koperasi, malah kad kredit. Ramai yang sanggup gadai emas, keluar duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), malah menjual harta pusaka demi membayar hutang yang bukan untuk keperluan mereka.

Ada juga kes di mana isteri menjadi penjamin pinjaman perniagaan suami yang kemudian gulung tikar, akhirnya si isteri pula yang diburu pemiutang dan institusi kewangan.

Golongan wanita manakah paling terkesan?
Kebanyakan kes membabitkan wanita dalam lingkungan usia 30 hingga 45 tahun berlatarkan golongan bekerjaya, stabil kewangan dan sering menjadi sasaran mudah kerana mereka mempunyai slip gaji dan mudah lulus pinjaman.

Penjawat awam paling ramai terbabit kerana mereka mempunyai keupayaan membuat pinjaman melalui koperasi atau institusi kewangan berlesen.

Malangnya, ramai daripada mereka terpedaya oleh kata-kata manis suami atau pasangan, ditambah pula dengan rasa tanggungjawab terhadap rumah tangga.

Adakah hanya suami yang memanipulasi? Bagaimana dengan keluarga sendiri?
Bukan setakat suami. Kami ada terima aduan daripada wa­nita bujang dan janda yang dipergunakan oleh ibu bapa, adik-beradik, malah anak sendiri.
Misalnya, ada ibu yang paksa anak perempuan buat pinjaman peribadi untuk besarkan rumah, beli kereta baru, atau bantu adik sambung belajar.

Alasan yang diberi tanggungjawab anak perempuan, tetapi bila hutang menimbun dan tak mampu bayar, mereka juga yang terpaksa menanggung akibat apabila dikejar bank, dipotong gaji, malah lebih malang diisytiharkan muflis.

Apakah kesan psikologi dan sosial kepada wanita ini?
Sangat teruk. Mereka bukan sekadar menanggung beban kewangan, tapi juga mengalami tekanan mental, kemurungan dan hilang harga diri.

Ada yang datang ke pejabat kami dalam keadaan trauma, takut buka surat, tidak mahu keluar rumah kerana diburu peminjam wang. Ada juga yang hampir mencuba membunuh diri kerana berasakan tiada jalan keluar.

Akibatnya, anak-anak terabai, pekerjaan terganggu dan rumah tangga menjadi tegang.


JANNAHTUL AIN berkata, wanita yang jadi mangsa bukan sekadar menanggung beban kewangan, tapi juga mengalami tekanan mental, kemurungan dan hilang harga diri.

Apakah jalan penyelesaian yang dicadangkan?
Pendidikan kewangan untuk wanita perlu dimulakan dari awal sama ada di sekolah, universiti, mahu pun tempat kerja.

Wanita perlu tahu hak kewa­ngan mereka, termasuk tentang liabiliti undang-undang, hak sebagai penjamin, risiko muflis, dan teknik mengurus kewangan.

Mereka perlu berani berkata ‘tidak’ kepada permintaan yang membebankan kewangan mereka, walaupun daripada orang tersayang. Kerajaan juga wajar wujudkan saluran khas untuk wanita melaporkan kes pende­raan kewangan seperti ini de­ngan perlindungan undang-undang sewajarnya.

Harapan kepada masyara­kat dan kerajaan?
Saya berharap masyarakat berhenti normalisasikan pengorbanan wanita secara membuta tuli atas nama cinta atau keluarga. Cinta sejati tidak memusnahkan, tapi membina.

Pihak berkuasa juga perlu mengiktiraf penderaan kewangan sebagai satu bentuk keganasan rumah tangga yang serius. Akhir sekali, saya ingin menyeru kepada semua wanita untuk cintai diri sendiri dahulu, lindungi masa depan kewangan anda dan jangan gadaikan keselamatan hidup hanya kerana terlalu setia kepada orang yang sanggup memperguna.

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN