SEREMBAN – Di saat kanak-kanak seusianya baru mula mengenal abjad, namun D. Devakshean, 5, telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengenal pasti mata wang dari 200 negara dalam tempoh hanya 11 minit dan 45 saat.
Pencapaian luar biasa itu membolehkan Devakshean menerima dua pengiktirafan berprestij iaitu daripada Malaysia Book of Records (MBOR), dan The British World Records, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara kanak-kanak terpintar dalam kategori usia bawah enam tahun.
Ibunya, G. Devamalar, 37, berkata, kemampuan anak sulungnya itu mula disedari sejak berusia setahun, apabila dia dapat mengecam bendera Malaysia tanpa diajar secara formal.
“Sebenarnya ini bukan kali pertama Devakshean mencatat kejayaan. Sejak usia dua tahun, kami sudah mula melatih dia secara santai mengenal bendera negara.
“Dalam masa dua tahun, dia berjaya menghafal 241 bendera negara lengkap dengan mercu tanda utama setiap negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengiktirafan Devakshean dalam MBOR dan The British World Records di Seremban di sini, semalam.
Pada majlis itu, Devakshean menerima pengiktirafan MBOR bagi kategori ‘Most Foreign Currencies Identified by a Child in One Minute’ manakala dari The World Records, dia diiktiraf sebagai ‘Young Global Expert of 195 Countries Flags and Currencies of World’.
Penyerahan sijil pengiktirafan disempurnakan Pegawai MBOR, V. Menaga dan Koordinator The British World Records di Malaysia, Prof. Datuk Dr S. Santharaekaran.
Mengulas lanjut, Devamalar berkata, dia dan suami, A. Devakumaran 41, hanya mengambil masa sebulan sahaja untuk melatih satu – satunya cahaya mata mereka itu dalam menghadapi cabaran tersebut.
“Kami tak pernah paksa dia belajar. Kalau dia tak minat, kami berhenti. Tapi Devakshean jenis yang cepat belajar dan suka ilmu. Bila dia minat sesuatu, dia akan ulang sendiri,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE