KUANTAN – Seorang pemandu trak pikap maut manakala dua rakannya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan dan terbalik beberapa kali ketika melalui jalan balak di Jalan Sungai Lembing berhampiran Hutan Simpan Remen Cheres di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu berlaku ketika mangsa Andreas Mara Kelen,57, yang merupakan warga Indonesia memandu kereta bersama dua rakannya dari kawasan pembalakan menuju ke arah Sungai Lembing.
“Ketika melalui laluan berbukit dan berselekoh di jalan tanah merah yang sempit kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik beberapa kali.
“Akibat kejadian menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak keluar daripada kenderaan,”katanya di sini hari ini.
Katanya pemadu kenderaan yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Sungai Lembing manakala dua penumpang patah kaki kiri dan cedera di bahagian kaki.
Dalam pada itu beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan dan siasatan masih giat dilakukan.
“Siasatan masih diteruskan termasuk siasatan di lokasi kejadian dan pemeriksaan kenderaan terlibat.
“Pihak polis menasihatkan semua pihak yang menggunakan laluan pembalakan agar lebih berhati-hati serta sentiasa memastikan keselamatan kenderaan dan penumpang terjamin, terutamanya ketika melalui kawasan berisiko tinggi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE