SUNGAI BULOH – Bapa saudara yang ditahan berhubung kematian bayi 19 bulan dipercayai diserang anjing di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, direman tiga hari.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor, berkata lelaki berusia 19 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Ahad untuk membantu siasatan.
Semalam media melaporkan bapa saudara bayi 19 bulan ditahan pada pukul 11.50 pagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebelum ini seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikelilingi beberapa ekor anjing di rumahnya di Kampung Orang Asli Sungai Buloh.
Bapa mangsa yang berusia 31 tahun turut membuat laporan polis dan memaklumkan kejadian berlaku ketika dia dan isterinya pulang dari tempat kerja pada pukul 8.15 pagi.
Setibanya di rumah, pasangan itu mendapati pintu terbuka dan bayi mereka tiada di dalamnya.
Selepas mencari di kawasan sekitar, mereka menjumpai bayi itu kira-kira 20 meter dari rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikelilingi beberapa ekor anjing.
Bayi tersebut dipercayai tinggal bersama bapa saudaranya ketika kejadian dan suspek hanya menyedari kehilangan tersebut selepas terdengar jeritan ibu bapa mangsa. – KOSMO! ONLINE