KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan rentak kemenangan pada Kejohanan Badminton Terbuka China di Changzhou selepas melangkah ke pusingan suku akhir.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik sebentar tadi, pasangan No.3 dunia itu menewaskan beregu Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara 21-17, 21-13 dalam tempoh 38 minit.
Turun sebagai pilihan ketiga kejohanan, naib juara Terbuka Jepun minggu lalu itu tidak berdepan banyak masalah apabila menampilkan aksi cukup meyakinkan biarpun cuba diberikan tentangan sengit.
“Sebenarnya tidak selesa sangat sepanjang perlawanan hari ini kerana pemain lawan juga bermain bagus. Saya gembira kerana kami dapat menenangkan antara satu sama lain dan mengawal permainan.
“Sekarang kami hanya mahu berehat dan berbincang dengan jurulatih mengenai apa strategi yang akan digunakan pada perlawanan esok,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Menjelang aksi suku akhir esok, Pearly-Thinaah akan menantikan pemenang perlawanan antara satu lagi beregu Jepun, Mayu Matsumoto-Yuki Fukushima dan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi. – KOSMO! ONLINE