KUALA LUMPUR – Hasrat perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka China tidak tertunai selepas tewas kepada pemain No.1 dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou sebentar tadi, bekas juara remaja Asia itu terpaksa akur tewas straight set 21-23, 7-21 dalam tempoh 48 minit.
Turun sebagai pemain bukan pilihan, Jun Hao menampilkan aksi cukup baik di set pertama sehingga meletakkan Kunlavut dalam keadaan cemas ketika mendahului 19-17, namun gagal memanfaatkan kelebihan itu apabila tewas.
Memasuki set kedua, pemain berusia 26 tahun itu seolah-olah terkesan dengan kekalahan dialami sehingga gagal memberikan saingan kepada Kunlavut yang kemudiannya menang mudah 21-7.
Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut Jun Hao di pusingan awal selepas turut mencatat keputusan serupa pada Terbuka Jepun (pusingan pertama) dan Terbuka Indonesia (pusingan kedua). – KOSMO! ONLINE